Jumat, 22 Agustus 2008

Kedudukan Imam 12

Kedudukan Imam 12, Pengikut Madzhab Jafari

Madzhab Jafari (Imamiah) melandaskan kepercayaan mereka bahawa Imam Dua Belas lebih mulia dari para Nabi yang mursal, kepada al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi SAWAW. Adapun al-Qur’an, mereka merujuk kepada Surah al-Baqarah, ayat 124 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim di uji TuhanNya dengan beberapa kalimat, lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu Imam bagi seluruh manusia.” Ibrahim berkata:“(Dan saya pohon juga) dari keturunanku.” Allah berfirman: “Janjiku(ini) tidak mengenai orang yang zalim.”

Ayat ini diturunkan selepas Nabi Ibrahim diuji dengan beberapa ujian dan selepas itu baru beliau dilantik menjadi Imam.

Imam Ja’far al-Sadiq AS berkata: Sesungguhnya Allah SWT telah mengambil Ibrahim sebagai seorang hamba, sebelum Dia mengambilnya menjadi nabi. Dan sesungguhnya Dia mengambilnya menjadi nabi sebelum Dia mengambilnya menjadi rasul, dan Dia mengambilnya menjadi rasul sebelum beliau menjadi Khalil, dan beliau menjadi Khalil sebelum beliau menjadi Imam. Manakala Allah SWT menghimpunkan semua perkara itu, iaitu kenabian, kerasulan, kekhalilan, Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikan kamu Imam kepada seluruh manusia. Lalu Ibrahim berkata:Kesemua keturunanku? Allah berfirman: JanjiKu tidak mengenai orang yang zalim.”

Imam Ja’far al-Sadiq AS berkata: “Orang yang bodoh tidak boleh menjadi Imam yang taqwa.”(al-Kafi oleh al-Kulaini, Jilid II, 185).

Al-Alamah Tabatabai dalam Tafsir al-Mizan, Vol. I hlm. 277 menegaskan bahawa ayat ini memberi beberapa keistimewaan antaranya:

Imam itu adalah dilantik oleh Allah.

  1. Imam wajib terpelihara maksum dan peliharaan Allah.
  2. Bumi yang wujud manusia tidak terlepas dari Imam yang hak.
  3. Imam wajib disokong/ditolong oleh Allah.
  4. Wajib beliau seorang yang alim dengan segala yang diperlukan oleh manusia dalam urusan keduniaan dan keakhiratan.
  5. Mustahil wujud di kalangan orang yang melebihinya tentang kelebihan jiwa.

Oleh itu mereka menyatakan bahawa jawatan Imamah itu secara umum lebih tinggi dari jawatan kenabian biasa dan lebih rendah dari kedudukan Nabi Muhammad SAWAW kerana mengikut mereka, Nabi Ibrahim AS telah diangkat dari martabat kenabian yang mursal kepada martabat Imamah (Al-Alamah Tabatabai, Tafsir al-Mizan, Jilid I, hlm. 228).

Seterusnya mereka berhujah adakah adil bagi kita memperkatakan bahawa Nabi yang diutus kepada seribu orang itu sama dengan nabi yang diutus kepada 30 ribu orang? Tetapi tidak dinafikan bahawa tujuan nabi-nabi adalah sama, cuma berbeza dari segi martabat, kedudukan dan pengetahuan.

Mereka mengemukakan pertanyaan, kenapa nabi kita Muhammad SAWAW semulia-mulia makhluk, semulia-mulia nabi dan rasul?

Ini adalah kerana Nabi kita dapat mengetahui kebesaran Allah yang tidak boleh dikias. Kerana baginda lebih sempurna, contohnya lebih afdal, lebih awal pada tiap-tiap sesuatu, sama ada dari sudut akalnya, kebijaksanaannya, idraknya yang mendalam, keberaniannya, kemuliaannya, peribadinya, sifat-sifat insannya yang terpuji, dan sebagainya. Oleh itu baginda lebih mulia dari nabi-nabi dan rasul-rasul (Lihat Ja’far al-Murtadha al-Amili, As-Sahih min Sirah an-Nabi al-A’zam, Qom, 1403, hlm. 303-304)

Oleh itu mereka menyatakan Wasi kepada Nabi Muhammad SAWAW itu juga mestilah melebihi para nabi yang mursalin.

Nabi SAWAW bersabda: “Ulama umatku lebih mulia dari nabi Bani Isra’il.”(Lihat Yanabi’ al-Mawaddah, Baghdad, 1385H, hlm. 475)

Mereka menegaskan bahawa maksud ulama dalam hadith itu bukanlah ulama biasa yang melakukan dosa, kerana tidak munasabah ulama yang melakukan dosa itu lebih mulia dari para nabi yang maksum.

Oleh itu apa yang dimaksudkan dengan ulama itu ialah manusia yang maksum, iaitu Imam Dua Belas (Lihat as-Sahih min Sirah an-Nabi al-A’zam, Ja’far al-Murtadha, Qom, 1981, Jilid III, hlm. 304-305)

Tidak ada komentar: